Nilai sebuah kesilapan..
Sedikit tazkirah (agak panjang sebenarnya) sewaktu solat hajat tempoh hari agak terkesan di hati Along. Mengupas tentang kesilapan, diri bagai disapa keinsafan dan minda mula menghurai segala kekusutan di benak. Berbalik pada istilah kesilapan tadi, benar bagai apa yang dikata tuan penceramah, manusia memang takut jika membuat kesilapan. Mengapa ya?
Ambil satu contoh di sekitar kita, jika kita punya kasut adidas yang berharga lebih kurang RM500, apa agaknya perasaan kita jika ia hilang pada suatu hari nanti? Ohh.tentunya kita akan berasa sedih yang teramat. Yelah, banyak tenaga dah dicurah untuk mengumpul duit dan membeli kasut tersebut, sekarang ia hilang begitu saja. Bayangkan pula situasi kedua, selipar jamban yang kita guna tiba-tiba ‘dicilok’ orang ketika bersolat di masjid. yeah! Ada sesalnya juga namun hati tidak meronta kuat. Tuntasnya, semakin mahal dan besar nilai sesuatu, semakin kita hargai dan sayang.
Perkara kedua yang Along fikirkan semula adalah tentang perbezaan sedikit yang sememangnya kita hargai, ambil contoh pelari terpantas dunia. Pencapaian terbaik beliau tentunya di bawah aksara 10 saat dan kita jangan lupa melihat pelari kedua terpantas. Yes, beberapa saat mungkin tertinggal di belakang yang pertama. Nah! Kita memang cenderung melihat beza yang sedikit antara kedua mereka dan yang sedikit itulah yang menjarakkan mereka sebagai pelari terpantas dunia, malah sebenarnya sangat berharga.
Apa kaitannya tentang nilai atau harga bagi kedua-dua kisah di atas? Kesilapan itu semakin ia besar, semakin kita takut dan kesalkan bukan? Sekarang apa kata jika kita samakan pengaplikasian kesilapan dengan benda mahal yang kita suka tadi? Begini, semakin besar silap yang kita buat, jadikan ia semakin berharga di hati kita kerana kita sedar akan sesuatu yang tersirat disebaliknya. Kesedaran bahawa silap itu mahal adalah entiti yang perlu ada, malah dipupuk dalam diri kita. Mengapa? Orang yang membuat kesilapan, bila mana dia melihat kesilapan itu sebagai sesuatu yang positif, mindanya takkan terkejang dengan kesedihan mahupun kebingungan. In fact, dia melihat kesilapan itu adalah sesuatu yang bisa membawanya kepada situasi yang lebih baik pada masa akan datang, jika dia terus berusaha dan memperbaiki apa yang berkaitan. Manusia yang tabah dan gigih berusaha pasti akan mendapat pulangan lumayan malah manisnya terasa bila kita mengorak dan menyelongkar kehidupan untuk mengenalpasti punca masalah dan penyelesaiannya. Tidak indah hidup ini jika hidup mudah tanpa masalah. Kesusahan dan kesilapan lah yang mengajar manusia untuk menjadi lebih matang dan kreatif.
Untuk seorang Muslim pula, bila-bila berlakunya musibah konsep sabar dan redha adalah ubat mujarab untuk mendepani hari seterusnya. Bila dia sedar kesilapan itu adalah satu dugaan dan berfikir bahawa mungkin ada yang tidak kena maka dia akan sentiasa bersabar malah percaya bahawa kesabaran mampu membuatkan dia lebih positif untuk mencari jalan penyelesaian malah membina minda rasional dan professional di situ. Di sisi Allah, ganjaran buat orang yang bersabar amat besar nilainya, maka usah mengeluh dan mendesah menghadapi dugaan atau kesilapan, InsyaAllah di situ ada hikmah yang besar untuk direnungi.
Dalam Islam juga tahap kesabaran banyak dikaitkan dengan tahap keimanan seseorang, ya! Semakin tinggi tahap iman, semakin dia redha dan bertambah yakin akan kuasa Allah. Allah menjanjikan ganjaran hebat buat mereka yag bersabar. Betul, bukan mudah untuk bersabar dan megelak dari kesilapan namun pengalaman mungkin boleh membantu kita untuk lebih berhati-hati dalam tiap perkara. Jika tak buat silap, kita takkan belajar malah dengan membuat kesilapan lah kita akan belajar sesuatu yang terseni di sebaliknya. Cukup sampai di sini, Insya Allah bertemu lagi di lain ruangan.
No comments:
Post a Comment